twitter
rss

Sedar atau tidak, soal pendidikan anak-anak kini lebih banyak dibebankan di atas bahu orang lain. Termasuk dalam hal ini adalah yang berkaitan dengan mendidik minat anak terhadap sains. Anggapan ibu bapa, pendidikan sains untuk anak-anak adalah tanggungjawab guru semata-mata. Namun, hakikatnya, kesedaran dan minat awal anak-anak terhadap bidang sains seharusnya bermula di rumah. Seterusnya, minat tersebut dikembangkan di sekolah.


Ini menunjukkan bahawa kerjasama membentuk minat anak terhadap bidang sains adalah tanggungjawab bersama. Oleh itu, makalah ini ingin membincangkan kerjasama ibubapa, guru dan ahli sains dalam pendidikan sains terutamanya yang berkaitan dengan menanam minat pelajar terhadap bidang tersebut.
"Ibu adalah guru pertama anak-anak". Ungkapan ini kerap kali kita dengar dan ia bukan sahaja merujuk kepada peranan ibu dalam mendidik anak-anak tetapi lebih luas lagi, ungkapan ini turut melihat peranan bapa dan ahli keluarga dalam pendidikan seorang anak.

Berkaitan dengan menanam minat terhadap bidang sains, peranan ibu bapa sangatlah penting. Dalam hal ini, ibu bapa hendaklah menyediakan atau membentuk satu suasana pembelajaran sains di rumah iaitu merangkumi kegiatan penerokaan, pemerhatian, pengkajian dan penilaian. Anak-anak hendaklah digalakkan untuk bertanya banyak soalan dan soalan-soalan tersebut perlu dijawab oleh kedua ibu bapa. Jika tidak berupaya menjawab soalan anak, maka ibu bapa boleh mencari jawapan tersebut bersama-sama anak-anak di internet atau buku-buku yang banyak terdapat di pasaran.
Di rumah juga, dalam usaha membentuk minat terhadap sains, terdapat banyak kegiatan yang boleh dilakukan bersama-sama anak. Misalnya, ketika memasak, ibu boleh mengambil kesempatan itu untuk menarik minat anak memerhati dan berfikir. Sebagai contoh, ketika menjerang air, tanyalah kepada anak kenapa wap panas keluar apabila air sudah masak. Atau ketika menggunakan soda bikarbonat ketika membuat kek, tanyakan kepada anak kenapa kek itu naik atau mengembang.
Ujikaji mudah ini juga boleh dikembangkan agar anak boleh merasakan keseronokan kegiatan tersebut. Sekali lagi, bahan-bahan yang ada didapur boleh digunakan. Cubalah campurkan cuka dan soda bikarbonat. Saksikan nanti bagaimana kedua-dua bahan ini bertindakbalas! Anak-anak akan seronok melihat buih-buih keluar daripada tindakbalas dua bahan tadi. Terangkan kepada anak-anak kenapa ini terjadi dan biarkan pula si anak mencubanya sendiri. Namun, jangan lupa, setiap kegiatan hendaklah dilakukan dengan berhati-hati dan diawasi ibu bapa.

Apa yang telah ditunjukkan di atas adalah bukti bahawa pelbagai kegiatan sains boleh dijalankan di rumah. Bukan sahaja di dapur, kegiatan sains itu juga boleh dijalankan semasa berkebun di laman rumah, ketika mencuci kereta dan sebagainya. Malah, kegiatan sains juga boleh dilakukan ketika bercuti ke pantai atau ketika melancong ke pelbagai tempat yang menarik. Apa yang ibu bapa boleh lakukan adalah mencari maklumat kegiatan yang boleh dilakukan bersama keluarga di internet atau buku. Apa yang penting adalah perancangan awal terhadap apa-apa kegiatan yang ingin dilakukan.

Para guru juga mempunyai tugas yang besar dalam usaha membentuk sikap dan pemikiran saintifik di kalangan pelajar. Sikap dan pemikiran ini pastinya perlu dipupuk dengan menanam minat pelajar terhadap sains. Pelajar hendaklah dididik mempelajari dan meminati sains kerana sains penting dalam hidup manusia. Sains secara asasnya bermula untuk menyelesaikan masalah seharian manusia. Inilah hakikat yang harus difahami semua pihak. Ini juga bermakna sains adalah berkaitan dengan kegiatan harian manusia dan bukannya untuk mendapat markah tinggi atau mendapat peluang pekerjaan yang baik sahaja.

Sebagai seorang guru, mereka seharusnya bijak dan kreatif merancang kegiatan pembelajaran sains dengan lebih menarik. Seperti yang disebutkan awal tadi, kegiatan pembelajaran itu hendaklah meliputi ciri kegiatan sains iaitu pemerhatian, penerokaan, percubaan ujikaji, penilaian dan pelaporan kajian. Pelajar hendaklah digalakkan dan diberi peluang untuk bertanya soalan dan mencuba sendiri ujikaji yang dijalankan. Ini sangat penting kerana mempelajari sains tanpa berpeluang mencuba atau melakukan kajian sendiri adalah ibarat lagu tanpa irama. Kegiatan ‘hands on' ini sangat penting dalam pendidikan sains.

Pembelajaran sains juga tidak sewajarnya terhad di dalam kelas semata-mata. Pelajar juga harus diberi peluang untuk belajar di luar kelas. Malah, pembelajaran luar kelas ini memberi pelajar lebih peluang untuk meneroka dan memerhati. Guru-guru boleh membawa pelajar menyelidiki persekitaran sekolah. Semasa kegiatan ini, pelajar boleh disuruh membuat inventori serangga yang ada di kawasan sekolah. Ataupun, pelajar boleh mengumpul pelbagai jenis daun di sekolah dan disusun di dalam buku skrap. Daun-daun serta serangga tadi boleh disusun dan ditulis namanya. Lebih menarik lagi jika pelajar disuruh mencari nama saintifik serangga atau tumbuh-tumbuhan yang dikumpul.

0 comments:

Post a Comment